Oleh REBICCA RIBUT
(Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim Kedah)
Dalam era globalisasi ini, kesejahterahan dan keamanan sesebuah negara
seringkali digugat oleh pelbagai anasir negatif sama ada dari dalam atau
luar negara. Anasir negatif tersebut datang dalam pelbagai bentuk
seperti hiburan dari Barat dan pengaruh internet. Oleh demikian,
kebijaksanaan dan kecekapan seorang pemimpin adalah penting dalam
menjaga keamanan dan kesejahteraan negara.
Namun, seorang pemimpin tersebut juga harus menitikberatkan, mengamalkan
dan memiliki integriti dalam dirinya. Integriti dapat ditakrifkan
sebagai suatu kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada
individu atau organisasi serta berkait rapat dengan etika. Ia adalah
berlandaskan etika dan pencerminan etika dalam sehari-hari. Dalam Kamus
Dewan didefinisikannya sebagai kejujuran dan ketulusan.
Terdapat pelbagai sikap pemimpin yang mencerminkan integriti seperti
bersikap amanah, beriltizam tinggi, berakhlak dan berbudi pekerti mulia
serta dapat memberi teladan yang baik kepada rakyat.
Seseorang pemimpin haruslah mengamalkan sikap amanah iaitu dapat memikul
tanggungjawab sebagai salah seorang individu yang terpenting dalam
tampuk pemerintahan negara. Oleh itu, seorang pemimpin juga harus
mengamalkan sikap amanah dalam menjalankan tugas.
Contohnya, tidak menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri,
keluarga sanak saudara atau kaum kerabat sendiri. Sebaliknya, seorang
pemimpin harus memberi keutamaan kepada kepentingan awam. Selain itu,
tanggungjawab sebagai seorang pemimpin juga harus dipikul dengan penuh
ketelusan dan ketulusan.
Hal ini kerana, sebagai seorang pemimpin yang telah diberi kepercayaan
oleh rakyat, mengamalkan dan memiliki sikap amanah akan menjadikan
mereka lebih diyakini keupayaan dan keikhlasan dalam mentadbir negara
oleh golongan marhaen.
Seperti peribahasa Melayu, "Raja adil - raja disembah, Raja zalim - raja
disanggah." Oleh itu, sebarang pemberontakan atau demonstrasi yang
berunsurkan ketidakpuashatian rakyat terhadap kepimpinan seorang
pemimpin dapat dielakkan daripada berlaku.
Jika kita lihat di negara-negara luar seperti Libya, yang mana telah
wujud golongan yang mempertikaikan kepimpinan serta ingin menggulingkan
pemimpin mereka iaitu Muammar Gaddafi sehingga mewujudkan pergolakan dan
suasana kacau-bilau sehingga mengakibatkan ketidakamanan di negara
tersebut.
Sekiranya perkara seumpama itu berlaku di negara kita, sudah tentu
keamanan dan kesejahteraan yang kita kecapi sejak sekian lama akan
tergugat dan kita hidup dalam ketakutan. Oleh itu, jelaslah bahawa
bersikap amanah amat penting bagi seorang pemimpin bagi memastikan
kesejahteraan negara.
Selain itu, seorang pemimpin juga harus mempunyai iltizam yang kuat
serta bersedia dari segi mental dan fizikal dalam mentadbir negara.
Mempunyai iltizam yang kuat bermaksud memiliki kesungguhan yang jitu
dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.
Pemimpin harus memiliki ilmu pengurusan bagi membolehkannya mentadbir
negara dengan cekap dan efektif bagi menjamin kesejahteraan negara yang
ditadbir. Contohnya, seorang pemimpin yang tidak memiliki iltizam serta
ilmu pengurusan akan menjadi seorang pemimpin serta ketua tanpa
persediaan dalam melaksanakan tanggungjawab seperti sekadar melepaskan
batuk di tangga sahaja. Ia akan memberi impak yang buruk kepada negara
iaitu mewujudkan kepincangan dalam pemerintahan.
Peristiwa kejatuhan kesultanan Melayu Melaka pada zaman dahulu yang
berpunca daripada kepincangan dalam pemerintahan harus dijadikan iktibar
serta teladan kepada pemimpin. Oleh itu, seyogia seorang pemimpin harus
mendapat latihan kepimpinan serta menimba ilmu secukupnya sebelum
memegang gelaran sebagai pemimpin. Pemimpin sebegini akan lebih
dihormati dan disegani oleh rakyat serta menjadi suri teladan kepada
segenap lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, memiliki akhlak dan berkelakuan mulia juga merupakan
salah satu sikap berintegriti yang harus diamalkan oleh pemimpin.
Pemimpin yang berintegriti akan mengamalkan dan menghayati nilai-nilai
moral seperti kepercayaan kepada Tuhan, amanah dan kejujuran. Nilai
moral seumpama ini harus menjadi pegangan pemimpin dalam mentadbir
negara.
Oleh itu, kerakusan nafsu dalam diri pemimpin tidak akan wujud. Nafsu
tersebut dapat dilihat apabila seorang pemimpin tidak jujur dalam
menjalankan tanggungjawabnya seperti mengamalkan rasuah.
Selain itu, seringkali kita membaca berita yang terpampang di dada
akhbar yang mengatakan tentang calon-calon pilihan raya yang hanya
inginkan populariti untuk meraih undi tanpa mengambil kira kepentingan
negara.
Golongan seumpama ini hanya akan bertindak mengikut nafsunya sendiri
tanpa menghayati nilai-nilai moral. Justeru, rakyat akan kurang
berkeyakinan terhadap pemimpin tersebut kerana menganggap pemimpin
seumpama itu adalah gila kuasa.
Sementara itu, seorang pemimpin harus mengotakan kata dan janji-janji
yang telah dibuat kepada rakyat dan bukannya sekadar pemanis bicara.
Mutakhir ini, rakyat seringkali berhadapan dengan pemimpin yang hanya
bijak berpidato dan berhujah tentang integriti di hadapan rakyat namun
terdapat tingkah laku mereka yang tidak mencerminkan mereka mengamalkan
integriti.
Misalnya, menyeru rakyat agar menjauhi amalan rasuah kerana amalan
tersebut boleh mendatangkan impak negatif terhadap negara. Namun dalam
masa yang sama, mereka turut mengamalkan dan seolah-olah membenarkan
rasuah terjadi dalam negara. Pemimpin seperti ini boleh dikatakan
sebagai 'cakap tidak serupa bikin' oleh masyarakat yang kian bijak
menilai baik buruk peribadi seorang pemimpin. Oleh itu, tidak hairan
jika wujudnya golongan yang mempertikai daya kepimpinan pemimpin
tersebut akibat hilang keyakinan.
Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, pemimpin tersebut harus
bermuhasabah diri dalam setiap tindak-tanduknya sebagai seorang pemimpin
bagi menjaga hati dan kepentingan rakyat sekali gus menjaga
kesejahteraan negara. Intihanya, seorang pemimpin haruslah mengamalkan
sikap berintegriti dalam diri mereka bagi menjalankan tanggungjawab
memimpin negara dengan lebih baik dan berkesan agar dapat menjadi suri
teladan kepada masyarakat. Jelas, pemimpin yang berintegriti akan lebih
disenangi, disegani serta dihormati oleh rakyat.
Malah, rakyat akan lebih berkeyakinan terhadap tampuk pemerintahan
pemimpin yang berintegriti sekali gus dapat mengelakkan timbulnya
kejadian yang tidak diingini seperti tunjuk perasaan dan kekacauan yang
mampu mengganggu gugat ketenteraman, keamanan serta kesejahteraan
negara. Oleh itu, pemimpin yang berintegriti adalah tonggak utama
kesejahteraan negara.
PENULIS ialah pemenang kedua Pertandingan Menulis Esei Integriti
Politik peringkat pengajian tinggi yang dianjur oleh Institut Integriti
Malaysia (IIM) baru-baru ini.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/